Saturday 20 April 2013

Serik Singgah Di Restoren Ini.....

   Dah lama aku sekeluarga tak pulang bercuti di kampung. Jadi sempena cuti sekolah bulan Mac 2013 ni adalah masa terbaik untuk kami balik kampung. Kami sekeluarga balik kampung dengan Innova kesayangan kami. Dah setahun lapan bulan aku pakai Innova tapi odometer baru menunjukkan 19700km. Purata perjalanan sebulan ialah 980km. Walaupun tak banyak berjalan cuma utk balik kampung dan untuk penggunaan hujung minggu sahaja tapi aku amat puas hati dengan pembelian Innova yang berbaloi baloi ni.

   Hari ni aku bukan nak cerita pasal kereta tapi kisah perjalanan balik kampung di Kota Bharu. Semasa perjalanan melalui Lebuhraya Karak, jalan tidaklah sesak sebab ni masuk hari ketiga cuti sekolah. Biasanya kalau hari pertama cuti Tol Karak jem, Bentong Jem, Raub jem dan perjalanan melalui Kuala Lipis ke Kota Bharu penuh sesak dengan kereta menuju ke Kelantan. Mungkin mereka juga nak balik kampung dan mungkin juga di antara mereka nak berjalan-jalan melihat keindahan dan pembangunan Kota Bharu dan Kelantan amnya.

   Apabila hampir sampai di Gua Musang kami sekeluarga berhenti untuk makan malam di sebuah restoran baru. Letaknya sebelum Bulatan Bandar Gua Musang dan Stesen minyak Esso (kalau tak silap) dari arah KL. Restorannya agak besar dan cantik dan di bina dalam kolam ikan. Restoran ni menyediakan masakan ala Thailand dan Barat. Kami sekeluarga duduk dan memesan masakan panas ala Thai; Aku pesan bihun Hong Kong, bini aku pesan tom yam dan nasi putih, 3 orang anak-anak aku yang berumur dari 5th ke 10th minta 3 nasi goreng sotong dan yang umur 12th minta udang masak masam manis dan minuman (ada sbb mengapa aku sebut semua ni). Setelah setengah jam menunggu makanan tak juga sampai-sampai...aku melihat pelanggan2 lain...mereka pun sama macam aku sekeluarga..resah, boring dan nak marah pun ada...anak2 aku dah merenget nak tidur.  Pelanggan yang menunggu taklah ramai sangat iaitu sekitar 15 orang. Nampaknya ada yang sudah bosan menunggu lalu bertindak pergi ke kaunter...bayar minum dan terus blah.  Aku pun nak ikut sama bangun tapi bini aku suruh sabar... 45 minit berlalu aku sudah hilang sabar...sebab nak balik KB lebih kurang 2 jam setengah ke 3 jam lagi. Aku bangkit dari tempat duduk lalu pergi ke kaunter utk bayar minuman. Tapi penjaga kaunter tu suruh tunggu sekejap dan dia pergi cek makanan. Kebetulan makanan sudah siap dan aku duduk balik. Itupun mengenangkan anak aku nak makan, kalau tak sebab bersama keluarga aku terus blah je...

Makanan sampai.....aku pelik juga tengok Udang masam manis agak banyak dan tomyam yang bini aku pesan pun agak banyak....  bini aku kata ini bukan untuk makan sorang ni. Tanpa banyak bicara kami makan...

   Setelah kami sekeluarga selesai makan, aku pun menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran. Bil yang diterima ialah RM62.00. Aku agak terkejut kerana biasanya aku sekeluarga makan masakan ala Thai kat KL taklah semahal ni. Paling tinggi pun makan sup gear box kat Warung Dusun, Bandar Baru Bangi harganya sekitar RM50 shj. Aku cek list harga..udang masam manis RM18 (utk anak aku sorang, biasa utk makan seorang cuma RM5)  dan tomyam RM10...  agak mahal untuk seorang makan...lalu aku tanya penjaga kaunter, makanan ni tak boleh ke pesan untuk seorang makan, penjaga kaunter tu kata harga makanan adalah berdasarkan saiz iaitu SS dan  XL . Aiik..pelik betul..kami minta makanan untuk setiap orang jadi sepatutnya lauk tu taklah banyak sangat sekadar cukup utk seorang makan je..  . Tanpa banyak soal aku bayar juga bil makan tu sebab dah makan nanti tak halal pula makanan yang dah masuk dalam perut kalau tak nak bayar. Dalam hati aku terasa dizalimi kerana tak ikut kesesuaian apa yang di order. Begitu juga dengan waiter, kenalah bagitau kalau harga makanan di restoren mu tu lain harga dengan restoren orang lain.

Pengajaran yang aku dapat di sini kalau nak berniaga pun janganlah cekik darah atau ambil kesempatan. Aku tak kisah sangat bayar mahal kerana bukannya aku tak pernah makan kat hotel, tapi pastikan service cepat dan terbaik, makanan sedap dan pelanggan puas hati. Lain kali aku tak akan singgah lagi kedai ni. Kalau nak makan baik makan kat Bandar Gua Musang jah...
 

Proton Preve 1.6 CVT IAFM Executive

Membuat Keputusan Amat Penting

   Perkara yang paling aku bimbang sebelum membuat keputusan membeli Proton Preve 1.6 CVT IAFM ialah dari segi powernya. Aku tak bimbang dengan Preve CFE kerana telah terbukti pick upnya amat bagus. Aku dah test drive CFE tapi IAFM tak dapat test drive sebab tak ada unit untuk test drive. Aku cuba cari dalam internet kot-kot ada cerita pasal Preve IAFM tapi mengecewakan tak jumpa pun orang yang tulis pasal kereta ni. Ok, fikir punya fikir, setelah dibuat perkiraan budget...dan budget aku pun taklah banyak sangat, jadi aku putuskan untuk beli Preve 1.6 CVT IAFM Executive. Kalau nak dikira minat aku minat lagi CFE sebab powernya bagus dan akesorinya lagi banyak iaitu built in GPS, 4G internet,  sistem keselamatan lebih baik iaitu ABS Brake, ESC, 4 airbag. Jika nak dibandingkan dengan IAFM eksesorinya biasa je iaitu CD player, 2 airbag, ABS brake dan lain-lain. 

   Bagi yang berminat nak beli Preve, sekiranya anda memilih untuk membeli Preve 1.6 CVT IAFM Executive aku rasa anda tak akan kecewa kerana bagi aku dari segi powernya iaitu 107 hp sudah mencukupi untuk perjalanan keluarga. Lagi pula aku tak ada niat nak racing ngan sapa-sapa pun. Paling penting bagi aku ialah kereta tidak under power sehingga nak naik bukit pun merayap macam kura-kura. Bagi aku kuasa Preve IAFM ni serupa juga dengan kereta-kereta lain yang sewaktu dengannya 1600cc ke bawah. Naik bukit dengan muatan penuh tak jadi masalah. Cumanya bila mula-mula nak bergerak iaitu masa masuk gear dari P ke D ia agak lambat sikit. Kena tekan minyak sikit baru jalan dan 'pick upnya' boleh dikatakan agak lembap tetapi boleh diterima. Ia agak ketara apabila kereta belum di service untuk kali pertama. Selepas service baru ok, kita tak akan rasa lagi sepertimana yang dirasakan di atas.

   Perjalanan aku sekeluarga dgn isteri dan empat orang anak pergi ke Janda Baik sungguh menyeronokkan. Bagi aku tak ada istilah under power bagi Preve CVT. Lebuh raya Karak diredah tanpa ada rasa rendah diri dengan kereta-kereta ber cc besar. Tekan saja pedal minyak... naik turun bukit di lebuhraya karak tak menjadi masalah.  Begitu juga semasa mendaki menuju ke resort di Janda Baik. Enjin tidak mengaum sangat seperti kereta auto biasa. Nak dibandingkan dengan Innova aku...aku rasa ngauman Innova lagi kuat. Semasa pulang ke KL isteri aku memandu dan aku tidoo...bila aku tersedar fulamak tuu dia bini aku bawa...laju gilerr, korner kat lebuhraya Karak tu macam korner kat litar lumba dan dia puji....sedap bawa Preve ni...



    Berbeza dengan dengan gear auto 4 speed konvensional, bila kita masukkan gear kita akan dapat merasakan gear 'engage' dan kereta seperti 'melompat' tapi pada gear CVT kita tak akan terasa demikian.  Apabila kereta meluncur kita tak akan merasakan pertukaran gear 1 - 6, semuanya senyap. Kalau nak rasa pertukaran gear sepertimana gear konvensional tekan je butang SAT nescaya anda akan terasa pertukaran gear dari 1 - 6. Satu lagi perbezaan pada gear CVT ialah apabila kita rev tinggi sikit atau kita naik bukit ia akan berbunyi sedikit bising datang daripada gear box. Jangan takut itu biasa pada gear CVT. Kenapa Preve IAFM gunakan gear CVT 6 speed? Untuk laju macam Lamborghini ke? Bukan tujuan itu tapi untuk mengurangkan penggunaan bahan api. Makin kurang RPM maka makin kuranglah penggunaan minyak. Pada kelajuan 100km/h, meter RPM hanya menunjukkan bacaan 2.1 atau 2100RPM.

   Apabila memecut anda akan dapat merasainya kenikmatannya. Proton Preve 1.6 IAFM CVT dapat memecut dengan baik sekali di lebuhraya. Boleh challenge Honda, Toyota malah BMW kalau berani...kalau kalah dengan BMW tak pe, kita naik Preve je. Satu BMW boleh dapat 4 biji Preve. 'Anda tak akan terasa kelajuannya' walaupun meter sudah menunjukkan 140km/j apabila memandu di lebuhraya. Tau tau asyik dok potong kereta orang jeerrr.  Selekoh tiada masalah bagi Preve kerana teknologi Lotus Ride & Handling menyebabkan ia mantap untuk dipandu. Apabila melalui selekoh tajam contohnya susur keluar lebuhraya, stereng Preve tak terasa berat atau lari sewaktu mengambil selekoh. Tapi awas gunakan aqal anda sewaktu memandu kerana kehebatan teknologi ciptaan manusia bukanlah segala-galanya. Orang yang menggunakan nafsu sewaktu memandu selalunya gagal walaupun teknologi keretanya hebat dan keretanya harga sejuta.

   Suspension Preve agak baik dan tak ada bunyi kuat kalau terlanggar lopak. Suspension talaan Lotus membuatkan kereta tidak membuai di selekoh tajam. Anda akan kurang terasa gegaran apabila melalui garisan-garisan kuning atau jalan tak rata di jalanraya. Itulah kehebatan suspension Preve, setanding dengan kereta buatan Eropah.

Ruang &Tempat Duduk 

   Dari segi ruang dalaman memang tak dapat dinafikan, memang superb. Masuk je dalam kereta dan duduk di tempat pemandu anda akan terasa keluasan dan kelebarannya. Ruang belakang agak luas jika dibandingkan dengan Persona. Ruang kaki agak luas untuk penumpang belakang duduk dengan selesa, lutut tak akan terhimpit dengan kusyen depan. Kalau nak dibandingkan dengan Persona ruang letak lutut agak sempit.


Cuma apa yang aku tak suka ialah tiang bumbung bahagian hadapan agak tebal sedikit berbanding kereta lain menyebabkan ruang pandangan kiri kanan agak terganggu terutama apabila nak membelok di simpang tiga.



    Tempat duduk atau kusyen Preve disalut dengan baldu kalis air. Ini bermakna kalau air atau susu anak tumpah pun tak jadi masalah, ambil je kain lembap dan lap. Bagi aku seat Preve adalah seat yang selesa dan terbaik dalam kelasnya. Terima kasih kepada pereka seat Preve. Tempat duduk atau alas letak punggung yang lembut dan tempat bersandar yang agak keras sedikit dan contournya mengikut keselesaan belakang menyebabkan belakang kita tak sakit walau perjalanan jauh. Ada orang beli pelapik khas supaya belakang tak sakit dan lenguh bagi kereta-kereta tertentu. Seat Preve amat baik dan tidak lenguh untuk perjalanan jauh.

   Buka boot belakang; nak buka dengan remote boleh, buka manual pun boleh...wow luasnya...nak masuk tido pun boleh. Nak luas lagi boleh lipat seat belakang.   

Lampu Gear dan Lampu Lubang Kunci

   Tidak ada lampu penunjuk pada gear menyebabkan aku kurang selesa sedikit bila memandu waktu malam. Walaupun petunjuk sudah ada pada meter tetapi aku lebih suka melihat pada gear apabila nak menukar gear dari kedudukan P ke D.


Begitu juga apabila nak masukkan anak kunci untuk hidupkan kereta, tidak ada lampu pada kunci start menyebabkan agak kekok sikit mencari lubang untuk masukkan anak kunci. Diharap Pihak Proton dapat revise balik sistem ni dengan memasang lampu pada gear dan tempat masuk anak kunci. Boleh dikatakan semua kereta-kereta moden ada lampu ni.



Suis Signal dan Wiper



   Kedudukan Suis Signal dan lampu besar terletak di bahagian kiri steering dan suis wiper terletak dibahagian kanan steering menyebabkan  agak kekok untuk aku mengendalikannya. Konon-kononnya sistem ini adalah gaya pemanduan Eropah. Tapi bagi aku... aku tak suka kerana kebiasaan kereta-kereta yang dijual di Malaysia adalah mengikut gaya Jepun iaitu suis signal di sebelah kanan dan suis wiper di sebelah kiri. Terkadang aku memandu Iswara, terkadang aku memandu Innova, terkadang aku memandu Preve, naik pening kepala otak aku dibuatnya sebab kerap tersilap suis, nak pasang signal tapi terpasang wiper dan begitulah sebaliknya.   

Sistem Keselamatan

    Perkara yang aku pertimbangkan masa nak beli kereta baru ialah sistem keselamatan. Akhir tahun 2012, untuk sistem keselamatan kereta, kerajaan mewajibkan sekurang-kurang dua airbag dipasang pada kereta baru. Preve IAFM mempunyai 2 airbag dan brake ABS. Brake ABS amat penting bagi memastikan tayar kereta tidak terkunci apabila brake emergency. Contohnya secara tiba-tiba kereta di hadapan anda membrek. Anda pun secara mengejut menekan brek kereta anda dengan kuat. Bagi kereta yang menggunakan brek biasa, brek akan terus mengunci tayar kereta menyebabkan tayar kereta kaku dan terseret di atas permukaan jalan. Stering juga akan terkunci menyebabkan kita tak akan dapat mengawal kereta lagi. Jadi bayangkanlah sekiranya kita membrek dalam keadaan jalan basah, sudah pasti kereta akan meluncur seperti kita tidak membrek.  Sebaliknya brake ABS tak akan terus mengunci tayar kereta. Apabila kita membrek dengan mengejut, tayar kereta tak akan terseret dan stereng tidak terkunci, jadi kita masih lagi boleh mengawal stereng mengikut kehendak kita dan seterusnya cuba mengelak dari melanggar kereta atau sebarang halangan di hadapan.

   Bila masuk je dalam Preve, hidupkan enjin dan pastikan anda terus memakai seatbelt. Sekiranya anda tak pakai seatbelt warning buzzer akan berbunyi sehinggalah anda pakai seatbelt.Kadang-kadang buzzer ni menyusahkan kita bila kita nak pergi ke tempat yang dekat-dekat yang tak sampai 1km. So janganlah berdegil dengan Preve, dia marah kalau anda tak pakai seatbelt. Awas airbag tak akan berfungsi sekiranya anda tidak memakai seatbelt sewaktu kemalangan berlaku. WAL IAZUBILLAH.

Penggunaan Minyak

   Inilah perkara penting yang mana orang dok berkira-kira dan soalan paling glamour bila nak beli kereta baru; iaitu penggunaan petrol. Dimaklumkan bahawa penggunaan bahanapi PREVE amat menjimatkan untuk perjalanan jarak jauh kerana PREVE dilengkapkan dengan gear CVT 6 speed.  Untuk perjalanan lebuh raya dengan kelajuan 120 - 140km/h jarak yang aku dapat ialah 420km dengan isian RM60 petrol, atau 0.14sen untuk satu km (RON95 dengan harga RM1.90/l). Kalau nak jimat lagi boleh pandu di bawah 100km/h.

   Dalam ujian jarak dekat yang aku buat pula; Untuk perjalanan dekat-dekat dan ulang-alik iaitu ke masjid sekitar 1.5km, ambik anak sekolah 1.5km, isteri drive ke tempat kerja (town driving) sekitar 20km sehari maka setangki minyak RM70.00 hanya mampu bertahan setakat 290km shj. atau lebih kurang RM0.24sen untuk satu km.



   Awas jangan tunggu sehingga bar penunjuk petrol 'blinking' baru nak isi minyak kerana minyak yang terlalu sedikit akan menyebabkan 'fuel pump' dalam tangki tergantung dan 'sukar untuk menyedut minyak'. . Sebaiknya apabila tinggal 2 bar terus isi minyak. Mengikut pengalaman aku isian penuh lebih baik dari isian separuh separuh kerana ia memberi lebih kilometer. Jangan isi terlalu penuh sehingga mencecah 'nozzle pengisi minyak'. Biasanya nozzle akan automatic stop apabila minyak terlampau penuh. Ada juga sesetengah pam minyak yang menggunakan sistem reverse, iaitu sedikit minyak akan masuk semula ke dalam tangki petrol pam apabila minyak terlalu penuh dalam tangki kereta.

Kesimpulan

   Bagi aku Proton Preve ialah kereta terbaik Proton, nampak elegan, setanding dengan kereta-kereta buatan Jepun dan harganya amat competitive. Nak beli Altis mahal, baik beli Preve kerana ia lebih murah dan aku berbangga dengan kereta buatan orang kita. Lihatlah filem Hindustan apa pelakon dia buat; konon2nya kereta civic yang dia naik rosak...lalu apa pelakon tu kata; kalaulah kereta buatan India...nescaya tak akan rosak sampai bila2. Walaupun kereta buatan India taklah canggih, macam kereta dalam filem P Ramli je tapi rakyat dia berbangga dengan hasil negara sendiri.

   Setakat ni aku puas hati dengan Preve. Kalau ada orang nak kutuk kutuklah. Adakah orang yang mengutuk tu pandai serba serbi. Aku rasa kalau bagi tugas kat dia suruh buat kereta, kereta kayu pun belum tentu boleh buat. Atau pun kalau nak mengutuk tunjukkanlah kita lebih hebat dari segi keilmuan dan kebolehan. Orang berilmu tak mengutuk tetapi mengkritik supaya sesuatu itu akan jadi lebih baik dari yang ada sekarang. Dalam doa selepas solat pun kita berdoa supaya hari esok lebih baik dari hari ini.

SEKIAN. TQ.